Wednesday 13 November 2013

UCAPAN PERBAHASAN BAJET NEGERI JOHOR 2014

UCAPAN PERBAHASAN BAJET NEGERI JOHOR 2014 YB EN. EE CHIN LI, ADUN TANGKAK PADA NOVEMBER 2013.

Selamat pagi dan salam sejahtera, Tangkak ingin mengucap terima kasih kepada Yang Berhormat Dato' speaker kerana diberi peluang untuk berbahas berkenaan Bajet Negeri Johor 2014.

Yang Berhormat Dato' Speaker,

Terlebih dahulu Tangkak juga mengucapkan taniah kerana Negeri Johor dapat memperolehi sebanyak RM2.02 juta lebihan bagi Bajet Mengurus tahun 2014.

Dengan ini, Tangkak berharap Kerajaan Negeri Johor boleh menggunakan lebihan Bajet ini untuk menambahbaik dan meningkatkan taraf hidup anak bangsa Johor terutama kepada golongan miskin tegar dan golongan yang masih dalam kehidupan yang sukar.

Yang Berhormat Dato' Speaker,

Menurut ucapan Bajet Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Kerajaan Negeri Johor amat bersungguh untuk menjayakan program transformasi luar bandar selari dengan hasrat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor akan meningkatkan peruntukan penyelenggaraan jalan-jalan kampung, meluaskan Program Rebat Air dan program bekalan elektrik, mempertingkatkan perkhidmatan bekalan air dan juga memperluaskan dan menyelenggara akses jalur lebar di luar bandar.

Tangkak amat menghargai rancangan ini dan mengharap program-program yang disebut atas boleh dilaksana dengan sepenuhnya bagi meningkat taraf kehidupan penduduk-penduduk di luar bandar dan berjaya merapatkan jurang perbezaan kawasan luar bandar dengan kawasan bandar.

Tetapi, sesetengah penduduk-penduduk di kawasan luar bandar bukan saja menghadapi masalah jalan rosak, masalah bekalan air dan bekalan eletrik, masalah kekurangan pengangkutan awam atau masalah tidak dapat akses ke jalur lebar sahaja, kerana segolongan warga miskin tegar dan daif di luar bandar masih menghadapi masalah tempat tinggal, seperti mereka yang masih tinggal di dalam rumah yang uzur.

Walaupun mereka telah membuat permohonan ke Projek Perumah Rakyat Miskin Tegar (PPRT), tetapi ada yang telah menunggu selama 3 hingga 4 tahun masih belum dapat bantuan pembaiki rumah dan ada juga yang langsung tidak menerima sebarang maklum balas tentang keadaan permohonan mereka dari pihak yang berkenaan.

Bagi golongan tersebut, apa yang mereka mahu bukan sahaja jalan kampung yang cantik dan bekalan air serta eletrik, mereka memerlukan satu kediaman yang sempurna dan selamat. Kerajaan Negeri Johor harus mengambil perhatian tentang masalah mereka.

Penduduk-penduduk di luar bandar juga menghadapi masalah kekurangan rumah mampu milik serta rumah kos rendah dan sederhana, contohnya, sudah lama kawasan Tangkak tidak dibina rumah kos rendah, Kerajaan Negeri Johor mesti menangani masalah ini dengan segera.

Yang Berhormat Dato' Speaker,

Tangkak mengalu-alukan Kerajaan Negeri Johor dalam penubuhan Yayasan Pihak Berkuasa Tempatan bagi pembasmian kemiskinan dan memberikan bantuan-bantuan yang lain.

Kerajaan Negeri Johor juga berhasrat menjadikan sektor pelancongan sebagai sumber pertumbuhan ekonomi yang penting dan Tangkak percayai ahli-ahli yang berhormat yang berada di dewan yang mulia ini tahu bahawa Negeri Johor memang mempunyai potensi melebihan untuk mencapai hasrat tersebut.

Tetapi, selain daripada segi semula jadi dan keindahan yang dapat menarik pelancong, infrastruktur juga memainkan peranan yang penting dalam penarikan pelancong untuk datang ke Negeri Johor.

Semakin ramai pelancong adalah backpacker, aspek-aspek yang diambil kira ketika mereka memilih destinasi pelancongan termasuklah kemudahan pengangkutan awam, kebersihan sekitar dan isu keselamatan.

Jadi, adakah Negeri Johor telah menyediakan kemudahan pengangkutan awam yang memuaskan di seluruh negeri terutama dalam penyambungan antara lokasi-lokasi pelancongan dan apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri Johor untuk menyelesaikan masalah kebersihan dan keselamatan.

Yang Berhormat Dato' Speaker,

Dua tempat di DUN Tangkak telah diumum sebagai Wabak Denggi pada minggu lalu iaitu Zon Tangkak Jaya dan Zon Kampung Bekoh Tangkak.

Selepas menjalankan kempen gotong royong di kedua-dua wabak bersama pegawai Pejabat Kesihatan Daerah dan PBT, kami mendapati bahawa punca utama yang mengakibatkan kes denggi meningkat terlampau di kawasan tersebut adalah kerana keadaan kebersihan di kawasan wabak tersebut terlalu teruk.

Ini bukan saja tanggungjawab penduduk-penduduk di kawasan tersebut, tetapi pihak PBT mesti memikul tanggungjawab terbesar kerana terdapat banyak longkang telah lama disumbat oleh sampah sarap dan batu pasir dan tidak dibersihkan.

Tangkak berharap pihak PBT boleh membuat pemantauan bagi kerja-kerja kebersihan yang telah dijalankan oleh kontraktor dan ambil tindakan yang keras sekiranya kotraktor gagal dalam memenuhi tanggungjawab mereka.

Begitu juga bagi masalah banjir kilat di beberapa kawasan dalam DUN Tangkak, seperti di Kampung Baru Tangkak No. 2 dan Kampung Bekoh Tangkak.

Peparitan yang lama, sumbat dan kecil sudah tidak mampu menampung air dari kawasan perumahan baru, tetapi, pihak PBT dan Jabatan Pengaliran dan Saliran tidak menyedari masalah ini sebelum meluluskan projek pembangunan baru dijalankan.

Ini adalah punca utama penduduk-penduduk menderita dan mengalami kerugian kerana kesilapan dan tidak profesional pihak-pihak berkenaan.

Yang Berhormat Dato' Speaker,

Sektor pertanian adalah penyumbang penting bagi ekonomi Negeri Johor, tetapi sampai hari ini masih ramai petani tidak mempunyai tanah pertanian sendiri. Mereka juga selalu ditimpa bencana alam.

Selain daripada itu, petani-petani juga menghadapi masalah pengangkutan hasilan, di kawasan pertanian Kampung Solok Tangkak, tiada laluan akses bagi sesetengah petani untuk memasuki ke kebun mereka dan mereka terpaksa meminjam laluan dari kebun jiran.

Masalah ini telah membawa kesusahan kepada petani khususnya apabila petani hendak mengangkut hasilan-hasilan mereka ke pasaran.

Pihak kerajaan telah lama berjanji akan membina satu jalan baru untuk petani-petani di Kampung Solok Tangkak, tetapi sampai hari ini janji tersebut masih belum dikotakkan. Tangkak harap Kerajaan Negeri Johor boleh menyatakan bilakah jalan kebun tersebut akan dibina.

Yang Berhormat Dato' Speaker,

Yang Amat Berhormat Menteri Besar mewakili Kerajaan Negeri Johor berikrar pada 7hb November yang lalu dalam dewan yang mulia ini bahawa perlaksanaanya kelak akan mengatasi kepentingan individu dan perbezaan ideologi politik sekalipun, Tangkak berharap beliau boleh menjalankan tugas dengan adil dan saksama dalam meluluskan projek pembangunan tempatan dan aliran peruntukan di 56 kawasan DUN Negeri Johor tidak kira kerusi itu dimenangi oleh Pakatan Rakyat ataupun Barisan Nasional.

Tangkak juga ingin tahu, berapakah jumlah peruntukan telah diberi kepada pertubuhan-pertubuhan dan persatuan-persatuan di setiap kawasan DUN sejak tahun 2000 dan berapa jumlah peruntukan yang telah dijanji oleh Kerajaan Negeri tetapi masih belum ditunaikan.

Yang Berhormat Dato' Speaker,

Kerajaan Negeri Johor meminta semua pelaburan-pelaburan yang datang ke Negeri Johor mesti menyumbang kepada peningkatan peluang pekerjaan yang bermutu dan dapat mempertingkatkan kemahiran pekerja tempatan, dan pelabur juga diminta haruslah mesra alam sekitar.

Tangkak ingin tahu bahawa setelah projek Pengerang Independent Deep Water Terminal dilaksanakan, dasar laut telah dimusnah, habitat haiwan laut akan hilang, apabila projek Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) dijalankan, berapa peluang pekerjaan akan disediakan kepada orang tempatan dan pemandangan yang indah di Pengerang akan diroboh. Adakah ini dianggap mesra alam sekitar?

Yang Berhormat Dato' Speaker,

Mengenai khabar-khabar angin kebelakangan ini tentang cadangan untuk menukar cutian minggu kepada hari Jumaat dan Sabtu di Negeri Johor.

Tangkak berharap Kerajaan Negeri Johor boleh mempertimbangkan dengan teliti dan meminta Kerajaan Negeri Johor boleh mempertimbangkan dengan teliti dan meminta Kerajaan negeri Johor mendengar pandangan rakyat dan juga pandangan-pandangan daripada para pelabur.

Bagi tidak menjejaskan dalam pembangunan Iskandar Malaysia, Tangkak harap kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan IRDA kerana Iskandar Malaysia sedang bersaing dengan Pulau Pinang dalam tarikan pelabur.

Adakah pelabur akan memilih melabur di Pulau Pinang sekiranya hari cuti mingguan Negeri Johor ditukar kepada hari Jumaat dan Sabtu?

Akhirnya, Tangkak berharap Kerajaan Negeri Johor boleh mengelakkan pembaziran ketika mengurus Negeri.

Sekian, terima kasih.

PEJABAT ADUN TANGKAK
NO. 27, JALAN KEMAJUAN, OFF JALAN PAYAMAS, TANGKAK, 84900 LEDANG, JOHOR.

TEL & FAX: 06 - 978 3252 EMEL: eechinli.adun@gmail.com

No comments:

Post a Comment