UCAPAN
PERBAHASAN BAJET NEGERI JOHOR 2014 YB EN. EE CHIN LI, ADUN TANGKAK PADA
NOVEMBER 2013.
Selamat pagi dan salam sejahtera, Tangkak ingin mengucap
terima kasih kepada Yang Berhormat Dato' speaker kerana diberi peluang untuk
berbahas berkenaan Bajet Negeri Johor 2014.
Yang Berhormat Dato' Speaker,
Terlebih dahulu Tangkak juga mengucapkan taniah kerana Negeri
Johor dapat memperolehi sebanyak RM2.02 juta lebihan bagi Bajet Mengurus tahun
2014.
Dengan ini, Tangkak berharap Kerajaan Negeri Johor boleh
menggunakan lebihan Bajet ini untuk menambahbaik dan meningkatkan taraf hidup
anak bangsa Johor terutama kepada golongan miskin tegar dan golongan yang masih
dalam kehidupan yang sukar.
Yang Berhormat Dato' Speaker,
Menurut ucapan Bajet Yang Amat Berhormat Menteri Besar,
Kerajaan Negeri Johor amat bersungguh untuk menjayakan program transformasi
luar bandar selari dengan hasrat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor
akan meningkatkan peruntukan penyelenggaraan jalan-jalan kampung, meluaskan
Program Rebat Air dan program bekalan elektrik, mempertingkatkan perkhidmatan
bekalan air dan juga memperluaskan dan menyelenggara akses jalur lebar di luar
bandar.
Tangkak amat menghargai rancangan ini dan mengharap
program-program yang disebut atas boleh dilaksana dengan sepenuhnya bagi
meningkat taraf kehidupan penduduk-penduduk di luar bandar dan berjaya merapatkan
jurang perbezaan kawasan luar bandar dengan kawasan bandar.
Tetapi, sesetengah penduduk-penduduk di kawasan luar bandar
bukan saja menghadapi masalah jalan rosak, masalah bekalan air dan bekalan
eletrik, masalah kekurangan pengangkutan awam atau masalah tidak dapat akses ke
jalur lebar sahaja, kerana segolongan warga miskin tegar dan daif di luar
bandar masih menghadapi masalah tempat tinggal, seperti mereka yang masih tinggal
di dalam rumah yang uzur.
Walaupun mereka telah membuat permohonan ke Projek Perumah
Rakyat Miskin Tegar (PPRT), tetapi ada yang telah menunggu selama 3 hingga 4
tahun masih belum dapat bantuan pembaiki rumah dan ada juga yang langsung tidak
menerima sebarang maklum balas tentang keadaan permohonan mereka dari pihak
yang berkenaan.
Bagi golongan tersebut, apa yang mereka mahu bukan sahaja
jalan kampung yang cantik dan bekalan air serta eletrik, mereka memerlukan satu
kediaman yang sempurna dan selamat. Kerajaan Negeri Johor harus mengambil
perhatian tentang masalah mereka.
Penduduk-penduduk di luar bandar juga menghadapi masalah
kekurangan rumah mampu milik serta rumah kos rendah dan sederhana, contohnya,
sudah lama kawasan Tangkak tidak dibina rumah kos rendah, Kerajaan Negeri Johor
mesti menangani masalah ini dengan segera.
Yang Berhormat Dato' Speaker,
Tangkak mengalu-alukan Kerajaan Negeri Johor dalam penubuhan
Yayasan Pihak Berkuasa Tempatan bagi pembasmian kemiskinan dan memberikan bantuan-bantuan
yang lain.
Kerajaan Negeri Johor juga berhasrat menjadikan sektor
pelancongan sebagai sumber pertumbuhan ekonomi yang penting dan Tangkak
percayai ahli-ahli yang berhormat yang berada di dewan yang mulia ini tahu
bahawa Negeri Johor memang mempunyai potensi melebihan untuk mencapai hasrat
tersebut.
Tetapi, selain daripada segi semula jadi dan keindahan yang
dapat menarik pelancong, infrastruktur juga memainkan peranan yang penting
dalam penarikan pelancong untuk datang ke Negeri Johor.
Semakin ramai pelancong adalah backpacker, aspek-aspek yang diambil kira ketika mereka memilih
destinasi pelancongan termasuklah kemudahan pengangkutan awam, kebersihan
sekitar dan isu keselamatan.
Jadi, adakah Negeri Johor telah menyediakan kemudahan
pengangkutan awam yang memuaskan di seluruh negeri terutama dalam penyambungan
antara lokasi-lokasi pelancongan dan apakah langkah-langkah yang akan diambil
oleh Kerajaan Negeri Johor untuk menyelesaikan masalah kebersihan dan
keselamatan.
Yang Berhormat Dato' Speaker,
Dua tempat di DUN Tangkak telah diumum sebagai Wabak Denggi pada
minggu lalu iaitu Zon Tangkak Jaya dan Zon Kampung Bekoh Tangkak.
Selepas menjalankan kempen gotong royong di kedua-dua wabak bersama
pegawai Pejabat Kesihatan Daerah dan PBT, kami mendapati bahawa punca utama yang
mengakibatkan kes denggi meningkat terlampau di kawasan tersebut adalah kerana
keadaan kebersihan di kawasan wabak tersebut terlalu teruk.
Ini bukan saja tanggungjawab penduduk-penduduk di kawasan
tersebut, tetapi pihak PBT mesti memikul tanggungjawab terbesar kerana terdapat
banyak longkang telah lama disumbat oleh sampah sarap dan batu pasir dan tidak
dibersihkan.
Tangkak berharap pihak PBT boleh membuat pemantauan bagi
kerja-kerja kebersihan yang telah dijalankan oleh kontraktor dan ambil tindakan
yang keras sekiranya kotraktor gagal dalam memenuhi tanggungjawab mereka.
Begitu juga bagi masalah banjir kilat di beberapa kawasan
dalam DUN Tangkak, seperti di Kampung Baru Tangkak No. 2 dan Kampung Bekoh
Tangkak.
Peparitan yang lama, sumbat dan kecil sudah tidak mampu menampung
air dari kawasan perumahan baru, tetapi, pihak PBT dan Jabatan Pengaliran dan
Saliran tidak menyedari masalah ini sebelum meluluskan projek pembangunan baru
dijalankan.
Ini adalah punca utama penduduk-penduduk menderita dan
mengalami kerugian kerana kesilapan dan tidak profesional pihak-pihak
berkenaan.
Yang Berhormat Dato' Speaker,
Sektor pertanian adalah penyumbang penting bagi ekonomi Negeri
Johor, tetapi sampai hari ini masih ramai petani tidak mempunyai tanah
pertanian sendiri. Mereka juga selalu ditimpa bencana alam.
Selain daripada itu, petani-petani juga menghadapi masalah
pengangkutan hasilan, di kawasan pertanian Kampung Solok Tangkak, tiada laluan
akses bagi sesetengah petani untuk memasuki ke kebun mereka dan mereka terpaksa
meminjam laluan dari kebun jiran.
Masalah ini telah membawa kesusahan kepada petani khususnya
apabila petani hendak mengangkut hasilan-hasilan mereka ke pasaran.
Pihak kerajaan telah lama berjanji akan membina satu jalan baru
untuk petani-petani di Kampung Solok Tangkak, tetapi sampai hari ini janji
tersebut masih belum dikotakkan. Tangkak harap Kerajaan Negeri Johor boleh
menyatakan bilakah jalan kebun tersebut akan dibina.
Yang Berhormat Dato' Speaker,
Yang Amat Berhormat Menteri Besar mewakili Kerajaan Negeri
Johor berikrar pada 7hb November yang lalu dalam dewan yang mulia ini bahawa
perlaksanaanya kelak akan mengatasi kepentingan individu dan perbezaan ideologi
politik sekalipun, Tangkak berharap beliau boleh menjalankan tugas dengan adil
dan saksama dalam meluluskan projek pembangunan tempatan dan aliran peruntukan
di 56 kawasan DUN Negeri Johor tidak kira kerusi itu dimenangi oleh Pakatan
Rakyat ataupun Barisan Nasional.
Tangkak juga ingin tahu, berapakah jumlah peruntukan telah
diberi kepada pertubuhan-pertubuhan dan persatuan-persatuan di setiap kawasan
DUN sejak tahun 2000 dan berapa jumlah peruntukan yang telah dijanji oleh
Kerajaan Negeri tetapi masih belum ditunaikan.
Yang Berhormat Dato' Speaker,
Kerajaan Negeri Johor meminta semua pelaburan-pelaburan yang
datang ke Negeri Johor mesti menyumbang kepada peningkatan peluang pekerjaan
yang bermutu dan dapat mempertingkatkan kemahiran pekerja tempatan, dan pelabur
juga diminta haruslah mesra alam sekitar.
Tangkak ingin tahu bahawa setelah projek Pengerang
Independent Deep Water Terminal dilaksanakan, dasar laut telah dimusnah,
habitat haiwan laut akan hilang, apabila projek Kompleks Petroleum Bersepadu
Pengerang (PIPC) dijalankan, berapa peluang pekerjaan akan disediakan kepada
orang tempatan dan pemandangan yang indah di Pengerang akan diroboh. Adakah ini
dianggap mesra alam sekitar?
Yang Berhormat Dato' Speaker,
Mengenai khabar-khabar angin kebelakangan ini tentang
cadangan untuk menukar cutian minggu kepada hari Jumaat dan Sabtu di Negeri
Johor.
Tangkak berharap Kerajaan Negeri Johor boleh mempertimbangkan
dengan teliti dan meminta Kerajaan Negeri Johor boleh mempertimbangkan dengan
teliti dan meminta Kerajaan negeri Johor mendengar pandangan rakyat dan juga
pandangan-pandangan daripada para pelabur.
Bagi tidak menjejaskan dalam pembangunan Iskandar Malaysia,
Tangkak harap kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan IRDA kerana Iskandar
Malaysia sedang bersaing dengan Pulau Pinang dalam tarikan pelabur.
Adakah pelabur akan memilih melabur di Pulau Pinang sekiranya
hari cuti mingguan Negeri Johor ditukar kepada hari Jumaat dan Sabtu?
Akhirnya, Tangkak berharap Kerajaan Negeri Johor boleh
mengelakkan pembaziran ketika mengurus Negeri.
Sekian, terima kasih.
PEJABAT ADUN TANGKAK
NO. 27, JALAN KEMAJUAN, OFF JALAN PAYAMAS, TANGKAK,
84900 LEDANG, JOHOR.
TEL & FAX: 06 - 978 3252 EMEL:
eechinli.adun@gmail.com
No comments:
Post a Comment