Selamat
pagi dan salam sejahtera, Tangkak ingin mengucap jutaan terima kasih kepada
Yang Berhormat Tan Sri Speaker kerana diberi peluang untuk berbahas berkenaan
Bajet Negeri Johor tahun 2016.
Yang
Berhormat Tan Sri Speaker,
Terlebih
dahulu Tangkak juga ingin mengucap tahniah kepada bangsa Johor kerana negeri
kita telah sekali lagi mencatatkan nilai pelaburan tertinggi di peringkat
nasional iaitu sebanyak RM30 bilion
sehingga September 2015.
Pengorbanan
dan segala kerja keras anak-anak bangsa Johor telah membantu negeri kita
semakin membangun dan berjaya, antara hasilnya adalah negeri kita dapat
memperolehi sebanyak RM1.55 juta lebihan dalam bajet 2016 yang telah dibentang
oleh YAB Menteri Besar.
Oleh itu,
Tangkak amat bersetuju bahawa Kerajaan Negeri Johor berusaha dalam mengutamakan kesejahteraan
anak-anak bangsa Johor dalam tahun yang akan datang ini.
PERUMAHAN
Rumah mampu
milik Johor adalah salah satu program perumahan yang berkesan dalam
menyelesaikan masalah kesukaran anak-anak bangsa Johor untuk memiliki kediaman.
Tangkak
juga mengalu-alukan pengumuman YAB Menteri Besar dalam dewan yang mulia ini
pada minggu lalu tentang penambahan jumlah pembinaan rumah di Negeri Johor.
Tetapi,
Tangkak juga dapati rumah-rumah yang akan dibina itu cuma terlibat di kawasan
Johor Selatan, takkan Kerajaan negeri tidak sedar bahawa terdapat permintaan
perumahan mampu milik di kawasan Johor Tengah dan Johor Utara. Tangkak berharap
Kerajaan negeri boleh bertindak dengan lebih adil kepada semua kawasan semasa
merancangkan projek pembinaan perumahan di negeri Johor.
Berkenaan
dengan Skim Pembiayaan Rumah Mampu Milik Johor yang akan diusahakan secara
bersama antara Kerajaan Negeri dengan Ambank untuk menyediakan dana berjumlah
RM300 juta sebagai pinjaman perumahan, Tangkak ingin meningatkan Kerajaan
Negeri Johor, menurut suatu kajian yang dijalankan bertajuk Index Nisbah Perbandingan
Tanggungan Pembeli Rumah yang diumumkan pada Disember 2014, negeri Johor telah
dikategorikan pada tahap "Sangat Sukar" menurut purata pendapatan
keluarga RM3650 sebulan, index perbandingan tanggungan pembeli rumah di Johor
adalah sebanyak 4.2 kali.
Golongan
yang berpendapatan rendah dan cuma boleh memiliki rumah mampu milik, skim
pembiayaan ini tidak membawa manfaat kepada mereka, kerana kebanyakan bank
tidak akan meluluskan pinjaman mereka disebabkan pendapatan mereka. Kerajaan
negeri perlu mencari jalan keluar untuk membantu golongan ini supaya mereka
boleh memiliki kediaman.
Yang
Berhormat Tan Sri Speaker,
Di kawasan
perkampungan luar bandar, terdapat banyak rumah yang uzur dimiliki keluarga
miskin memerlukan bantuan kerjaan untuk membaiki, walaupun kerajaan telah
menyediakan program pembaikan rumah, tetapi, mereka terpaksa menunggu masa yang
panjang untuk dapatkan kelulusan bantuan, Tangkak bercadang kerajaan menubuhkan
satu jawatankuasa kerja bagi mengenalpasti keadaan rumah pemohon dan memberikan
bantuan mengikut keadaan kerosakan rumah tersebut, keutamaan perlu diberikan
kepada rumah-rumah yang dalam keadaan bahaya.
AIR
Kementerian
Sumber Asli dan Alam sekitar telah memperuntukkan lebih RM1 bilion untuk
melaksanakan tiga fasa pembinaan projek Rancangan Tebatan Banjir Lembangan
Sungai Muar bagi mengatasi masalah banjir di daerah Muar dan Ledang pada awal
tahun 2013.
Apakah
keadaan projek setakat sekarang dan adakah projek ini bercadang untuk
meluruskan sungai Muar di kawasan Kampung Belembang Ledang?
Jika sungai
Muar di kawasan Kampung Belembang Ledang diluruskan untuk mengatasi masalah
banjir, Tangkak berasa risau pada musim kemarau, sejarah bekalan air masin
disalur kepada pengguna di daerah Ledang dan Muar akan berulang.
Pada musim
kemarau bulan Mac 2014, aliran air laut telah mengalir ke hulu sungai Muar dan
mengakibatkan loji air Panchor menyerap air masin, menurut makluman SAJ, hasil
pemeriksaan air pada masa itu menunjukkan paras sodium klorida yang lebih
tinggi berbanding keadaan biasa.
Jadi,
Tangkak meminta pihak Kerajaan dan SAJ perlu mengaji dengan teliti sekiranya
projek tersebut perlukan meluruskan sungai Muar.
PAPAN IKLAN
Beberapa
pihak berkuasa tempatan di negeri Johor telah mengeluarkan notis menghendaki
peniaga menurunkan papan iklan yang menutupi tingkap di premis bangunan
perniagaan mereka sejak bulan Julai.
Mereka
diberikan tempoh 3 bulan supaya menurunkan iklan tersebut dan kalau gagal
mematuhi notis tersebut dalam tempoh yang dinyatakan, mereka boleh dikenakan
denda RM2 ribu atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali dan
boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200.00 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu
berterusan selepas disabitkan.
Tindakan
PBT ini adalah sangat tidak adil kepada peniaga-peniaga yang telah mengikut
prosidur permohonan lesen papan iklan dan membayar lesen papan iklan besar
dengan kadar yang lebih tinggi.
Bagi papan
iklan yang menutupi tingkap di premis bangunan, papan iklan tersebut adalah
diperbuat daripada PVC yang mudah dikoyakkan dan telah dianjakkan 2 kaki
daripada dinding untuk memberi ruang penyelamat semasa dipasang.
Jadi, papan
iklan tersebut tidak akan menghalang kerja-kerja penyelamat sekiranya berlaku
kemalangan seperti kebakaran.
Tangkak
rasa amat kecewa terhadap pihak berkuasa tempatan yang mengeluarkan notis
menurunkan papan iklan tanpa menjalankan siasatan yang lebih lanjut sebelum
tindakan diambil.
Sepertimana
yang Tangkak pernah cadang di dewan yang mulia ini, pihak berkuasa tempatan dan
kerajaan negeri Johor perlu mengariskan satu panduan dan peraturan yang
sempurna bagi syarat lesen serta iklan dahulu.
Kemudian,
satu siasatan yang lebih teliti perlu dijalankan untuk memastikan sama ada
papan iklan yang sedia ada di premis bangunan akan menghalang kerja-kerja
penyelamat.
Panduan dan
peraturan papan iklan baru itu hanya digunapakai untuk permohonan pemasangan
baru.
Yang
Berhormat Tan Sri Speaker,
Langkah ini
dipercayai dapat mengelakkan peniaga dibeban oleh kos membuat papan iklan baru.
PBT
Pihak
berkuasa tempatan adalah sistem kerajaan yang paling mendekati rakyat, kerana
pihak berkuasa tempatan diberi kuasa untuk perancang tempatan, mengeluarkan
lesen, mengenakan cukai-cukai tertentu, membina bangunan, perumahan dan
unit-unit perdagangan, kuasa untuk menjalankan fungsi merancang dan menguruskan
kawasan bandar, mengurus dan mengawal lalulintas, sistem pengangkutan awam
bandaran, dan kuasa untuk merancang dan menyediakan kemudahan-kemudahan awam.
Oleh itu,
sikap perkhidmatan dan sistem penyampaian warga pihak berkuasa tempatan akan
membawa kesan langsung kepada penduduk-penduduk yang berada di dalam kawasan
pentadbiran mereka.
Terdapat
ramai penduduk berpengalaman tidak memuaskan dengan sikap perkhidmatan pihak
berkuasa tempatan terutama semasa mereka memerlukan bantuan pihak berkuasa
tempatan untuk menyelesai masalah-masalah tempatan yang mereka hadapi.
Sebagai
contoh, apabila penduduk membuat aduan tentang kemudahan awam yang telah lama
rosak, kadang-kadang mereka akan mendapat jawapan "dah lama ke? Kami tak
pernah terima aduan sebelum ini"
Ataupun
pihak berkuasa tempatan perlu ambil masa selama bulan-bulan cuma untuk menampal
lobang jalan.
Sikap-sikap
perkhidmatan pihak berkuasa tempatan sebegini telah mengecewakan penduduk dan
telah memburukkan imej kerajaan tempatan.
Tangkak
ingin menyeru pihak berkuasa tempatan supaya memantau keadaan
kemudahan-kemudahan awam dalam kawasan mereka dengan lebih kerap supaya dapat
mengambil tindakan yang lebih laju sekiranya mendapati berlaku kerosakkan.
Juga
berharap pihak berkuasa tempatan boleh memaklum balas aduan yang diterima
dengan lebih cekap dan profesional.
Tangkak
juga ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak berkuasa tempatan
yang telah menyediakan saluran aduan seperti Whatsapp, Twitter dan Facebook, ia
telah memudahkan penduduk untuk membuat aduan.
KEBAJIKAN
Kepada
mereka yang kurang bernasib, seperti golongan OKU, keluarga miskin tegar, mereka
terpaksa untuk bergantung kepada bantuan kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat
setiap bulan.
Tangkak
telah banyak menerima aduan daripada penerima bantuan JKM bahawa wang tersebut
diagih secara tidak tentu masa setiap bulan.
Contohnya,
pada bulan Januari, beliau terima bantuan kewangan pada 7hb, bulan Februari
terima pada 15hb, bulan Mac dimasukkan pada hujung bulan, bulan April gantung
kuali sebab bantuan kewangan diterima pada bulan Mei.
Keadaan ini
telah menyusahkan penerima JKM, Jabatan Kebajikan Masyarakat diminta memberi
penjelasan atas masalah ini dan apakah sebabnya berlaku kelewatan agihan
kewangan dan permohonan bantuan diproses dengan perlahan.
Pejabat JKM
daerah Ledang telah dipindah ke premis baru sebelum ini, malangnya, 3 bulan
sudah berlalu, kerja pengubahsuaian ruang pejabat masih belum selesai,
perkhidmatan telefon pejabat juga belum dipasang oleh Telekom, pekerja-pekerja
JKM Ledang menghadapi kesukaran semasa menjalankan tugas.
Kepada
Jabatan Kesihatan pula, Tangkak juga menerima pemberitahuan bahawa kemudahan
ultrabunyi di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Grisek Ledang telah rosak dan tidak
dibaiki sehingga sekarang.
Yang Berhormat Tan Sri Speaker,
ISU KAWASAN
Pembinaan
Pusat Pentadbiran Daerah Ledang yang baharu di kawasan Tangkak telah diumumkan
sejak tahun 2012, dalam ucapan bajet 2016 YAB Menteri Besar minggu lalu, sekali
lagi disentuh, Tangkak ingin tahu bilakah kerja-kerja pembinaan akan dijalankan
dan berapa jangka masa diperlukan untuk kerja-kerja pembinaan.
Tangkak
juga ingin mengambil kesempatan ini untuk meminta kerajaan supaya melengkapkan
pejabat-pejabat dan agensi-agensi kerajaan di daerah Ledang seperti Lembaga
Hasil Dalam Negeri, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengakutan Jalanraya, Jabatan
Immigresen, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan,
Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan sebagainya.
Sejak
Ledang diangkat sebagai sebuah daerah pada 8 Jun 2008, kerajaan gagal untuk
menyediakan pejabat dan agensi kerajaan yang lengkap kepada penduduk disitu.
Penduduk terpaksa membuat urusan di Daerah Muar dan Daerah Jasin Melaka.
Pusat
Pameran Antarabangsa yang akan dibina di Ledang juga telah lama dinanti-nantikan
oleh penduduk dan usahawan di Daerah Muar dan Ledang.
Apakah
pendekatan yang akan diambil oleh Kerajaan untuk menghadapi masalah jarak
antara kawasan perindustrian pembuatan perabot di Muar dan Pusat Pameran ini?
Memandangkan
kerajaan berhasrat untuk membangunkan Segamat sebagai Daerah Industri Asas
Tani, daerah Ledang juga sebuah daerah yang banyak mengeluarkan hasil tanaman sayur
dan buah-buahan, adakah kerajaan sedia memperuntukkan sebahagian pusat pameran
ini untuk mempamerkan produk-produk pertanian dari kedua-dua daerah ini.
Tangkak
mencadang kerajaan membangunkan industri pengolahan buah-buahan,
industri-industri pengolahan boleh ditempatkan di kawasan perindustrian Tangkak
yang sedia ada dan Tangkak percayai kalau cadangan ini dirancang dengan baik, harga
hasil tanaman pekebun akan lebih stabil dan bukan saja mereka akan mendapat
keuntungan, kerajaan juga boleh memperolehi manfaat.
Dengan
lokasi Tangkak yang strategik, bandar yang terletak di utara Johor ini adalah
pintu masuk pertama bagi pelancong-pelancong yang memasuki negeri Johor melalui
lebuhraya utara-selatan. Oleh itu, Tangkak ingin mencadang kepada Kerajaan
supaya menyediakan sebuah ruang memperkenalkan negeri Johor di Bandar Tangkak.
Selepas
itu, pelancong-pelancong yang melancong ke negeri Johor boleh singgah di bandar
Tangkak untuk lebih kenal negeri Johor. Bagi pelancong-pelancong yang
meninggalkan Johor, mereka boleh juga berhenti di pusat pameran produk-produk
pertanian yang Tangkak cadang tadi untuk membeli buah tangan.
Cadangan
ini juga selaras dengan pelan pertumbuhan strategik ekonomi Johor yang telah
diumumkan oleh YAB MB minggu lalu supaya daerah Ledang dibangunkan dengan industri
pelancongan.
Yang
Berhormat Tan Sri Speaker,
Tidak kira
Dewan Negera, Dewan Rakyat, Dewan Undangan Negeri, Dewan-dewan Bandaraya sampai
ke Majlis-majlis Daerah, persidangan atau mesyuarat yang di jalankan dalam
dewan tersebut adalah untuk membincang dan menentukan isu-isu yang berkaitan
dengan rakyat.
Jadi,
sebagai satu pentadbir yang telus dan integriti, kerajaan sepatutnya perlu
menyediakan segala kemudahan untuk rakyat mengikuti persidangan dan mesyuarat
yang sedang dijalankan.
Tangkak
juga ingin memuji kerajaan negeri Johor kerana telah berjaya membuat siaran
langsung melalui stesen radio dan laman web buat kali pertama pada hari pembentangan
bajet tahun 2016 pada minggu lalu.
Tangkak
harap siaran langsung ini bukan saja dijalankan pada hari pembentangan bajet,
tetapi harus disiarkan sepanjang tempoh
persidangan kerana anak bangsa Johor berhak untuk mengetahui segala keadaan
dalam dewan dengan segera semasa persidangan dijalankan.
Menteri
Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah membuat pengumuman
pada awal bulan November bahawa majlis mesyuarat PBT di seluruh Malaysia akan
disiarkan melalui laman web mulai hujung tahun ini.
Majlis
Bandaraya Johor Bahru adalah salah satu PBT yang akan membuat siaran langsung
pada tahap pertama. Tangkak dengan ini menyeru kerajaan membuat siaran langsung
persidangan dewan ini dengan segera, jangan nanti kalah pada PBT pula.
Selain
daripada kemudahan siaran langsung persidangan, Tangkak juga sekali lagi
meminta dewan yang mulia ini untuk menyediakan kesemua dokumen-dokumen urusan
dewan berdigital, tujuannya bukan saja dapat memudahkan kerja-kerja ahli-ahli
YB, tetapi juga boleh mempamerkan dokumen-dokumen seperti verbatim dalam laman
web yang boleh lebih senang dirujuk oleh rakyat jelata.