Wednesday 25 November 2015

UCAPAN PERBAHASAN BAJET NEGERI JOHOR 2016

Selamat pagi dan salam sejahtera, Tangkak ingin mengucap jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Tan Sri Speaker kerana diberi peluang untuk berbahas berkenaan Bajet Negeri Johor tahun 2016.

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

Terlebih dahulu Tangkak juga ingin mengucap tahniah kepada bangsa Johor kerana negeri kita telah sekali lagi mencatatkan nilai pelaburan tertinggi di peringkat nasional iaitu sebanyak RM30 bilion  sehingga September 2015.

Pengorbanan dan segala kerja keras anak-anak bangsa Johor telah membantu negeri kita semakin membangun dan berjaya, antara hasilnya adalah negeri kita dapat memperolehi sebanyak RM1.55 juta lebihan dalam bajet 2016 yang telah dibentang oleh YAB Menteri Besar.

Oleh itu, Tangkak amat bersetuju bahawa Kerajaan Negeri Johor  berusaha dalam mengutamakan kesejahteraan anak-anak bangsa Johor dalam tahun yang akan datang ini.

PERUMAHAN

Rumah mampu milik Johor adalah salah satu program perumahan yang berkesan dalam menyelesaikan masalah kesukaran anak-anak bangsa Johor untuk memiliki kediaman.

Tangkak juga mengalu-alukan pengumuman YAB Menteri Besar dalam dewan yang mulia ini pada minggu lalu tentang penambahan jumlah pembinaan rumah di Negeri Johor.

Tetapi, Tangkak juga dapati rumah-rumah yang akan dibina itu cuma terlibat di kawasan Johor Selatan, takkan Kerajaan negeri tidak sedar bahawa terdapat permintaan perumahan mampu milik di kawasan Johor Tengah dan Johor Utara. Tangkak berharap Kerajaan negeri boleh bertindak dengan lebih adil kepada semua kawasan semasa merancangkan projek pembinaan perumahan di negeri Johor.

Berkenaan dengan Skim Pembiayaan Rumah Mampu Milik Johor yang akan diusahakan secara bersama antara Kerajaan Negeri dengan Ambank untuk menyediakan dana berjumlah RM300 juta sebagai pinjaman perumahan, Tangkak ingin meningatkan Kerajaan Negeri Johor, menurut suatu kajian yang dijalankan bertajuk Index Nisbah Perbandingan Tanggungan Pembeli Rumah yang diumumkan pada Disember 2014, negeri Johor telah dikategorikan pada tahap "Sangat Sukar" menurut purata pendapatan keluarga RM3650 sebulan, index perbandingan tanggungan pembeli rumah di Johor adalah sebanyak 4.2 kali.

Golongan yang berpendapatan rendah dan cuma boleh memiliki rumah mampu milik, skim pembiayaan ini tidak membawa manfaat kepada mereka, kerana kebanyakan bank tidak akan meluluskan pinjaman mereka disebabkan pendapatan mereka. Kerajaan negeri perlu mencari jalan keluar untuk membantu golongan ini supaya mereka boleh memiliki kediaman.

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

Di kawasan perkampungan luar bandar, terdapat banyak rumah yang uzur dimiliki keluarga miskin memerlukan bantuan kerjaan untuk membaiki, walaupun kerajaan telah menyediakan program pembaikan rumah, tetapi, mereka terpaksa menunggu masa yang panjang untuk dapatkan kelulusan bantuan, Tangkak bercadang kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa kerja bagi mengenalpasti keadaan rumah pemohon dan memberikan bantuan mengikut keadaan kerosakan rumah tersebut, keutamaan perlu diberikan kepada rumah-rumah yang dalam keadaan bahaya.

AIR

Kementerian Sumber Asli dan Alam sekitar telah memperuntukkan lebih RM1 bilion untuk melaksanakan tiga fasa pembinaan projek Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Muar bagi mengatasi masalah banjir di daerah Muar dan Ledang pada awal tahun 2013.

Apakah keadaan projek setakat sekarang dan adakah projek ini bercadang untuk meluruskan sungai Muar di kawasan Kampung Belembang Ledang?

Jika sungai Muar di kawasan Kampung Belembang Ledang diluruskan untuk mengatasi masalah banjir, Tangkak berasa risau pada musim kemarau, sejarah bekalan air masin disalur kepada pengguna di daerah Ledang dan Muar akan berulang.

Pada musim kemarau bulan Mac 2014, aliran air laut telah mengalir ke hulu sungai Muar dan mengakibatkan loji air Panchor menyerap air masin, menurut makluman SAJ, hasil pemeriksaan air pada masa itu menunjukkan paras sodium klorida yang lebih tinggi berbanding keadaan biasa.

Jadi, Tangkak meminta pihak Kerajaan dan SAJ perlu mengaji dengan teliti sekiranya projek tersebut perlukan meluruskan sungai Muar.

PAPAN IKLAN

Beberapa pihak berkuasa tempatan di negeri Johor telah mengeluarkan notis menghendaki peniaga menurunkan papan iklan yang menutupi tingkap di premis bangunan perniagaan mereka sejak bulan Julai.

Mereka diberikan tempoh 3 bulan supaya menurunkan iklan tersebut dan kalau gagal mematuhi notis tersebut dalam tempoh yang dinyatakan, mereka boleh dikenakan denda RM2 ribu atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200.00 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu berterusan selepas disabitkan.

Tindakan PBT ini adalah sangat tidak adil kepada peniaga-peniaga yang telah mengikut prosidur permohonan lesen papan iklan dan membayar lesen papan iklan besar dengan kadar yang lebih tinggi.

Bagi papan iklan yang menutupi tingkap di premis bangunan, papan iklan tersebut adalah diperbuat daripada PVC yang mudah dikoyakkan dan telah dianjakkan 2 kaki daripada dinding untuk memberi ruang penyelamat semasa dipasang.

Jadi, papan iklan tersebut tidak akan menghalang kerja-kerja penyelamat sekiranya berlaku kemalangan seperti kebakaran.

Tangkak rasa amat kecewa terhadap pihak berkuasa tempatan yang mengeluarkan notis menurunkan papan iklan tanpa menjalankan siasatan yang lebih lanjut sebelum tindakan diambil.

Sepertimana yang Tangkak pernah cadang di dewan yang mulia ini, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri Johor perlu mengariskan satu panduan dan peraturan yang sempurna bagi syarat lesen serta iklan dahulu.

Kemudian, satu siasatan yang lebih teliti perlu dijalankan untuk memastikan sama ada papan iklan yang sedia ada di premis bangunan akan menghalang kerja-kerja penyelamat.

Panduan dan peraturan papan iklan baru itu hanya digunapakai untuk permohonan pemasangan baru.

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

Langkah ini dipercayai dapat mengelakkan peniaga dibeban oleh kos membuat papan iklan baru.

PBT

Pihak berkuasa tempatan adalah sistem kerajaan yang paling mendekati rakyat, kerana pihak berkuasa tempatan diberi kuasa untuk perancang tempatan, mengeluarkan lesen, mengenakan cukai-cukai tertentu, membina bangunan, perumahan dan unit-unit perdagangan, kuasa untuk menjalankan fungsi merancang dan menguruskan kawasan bandar, mengurus dan mengawal lalulintas, sistem pengangkutan awam bandaran, dan kuasa untuk merancang dan menyediakan kemudahan-kemudahan awam.

Oleh itu, sikap perkhidmatan dan sistem penyampaian warga pihak berkuasa tempatan akan membawa kesan langsung kepada penduduk-penduduk yang berada di dalam kawasan pentadbiran mereka.

Terdapat ramai penduduk berpengalaman tidak memuaskan dengan sikap perkhidmatan pihak berkuasa tempatan terutama semasa mereka memerlukan bantuan pihak berkuasa tempatan untuk menyelesai masalah-masalah tempatan yang mereka hadapi.

Sebagai contoh, apabila penduduk membuat aduan tentang kemudahan awam yang telah lama rosak, kadang-kadang mereka akan mendapat jawapan "dah lama ke? Kami tak pernah terima aduan sebelum ini"

Ataupun pihak berkuasa tempatan perlu ambil masa selama bulan-bulan cuma untuk menampal lobang jalan.

Sikap-sikap perkhidmatan pihak berkuasa tempatan sebegini telah mengecewakan penduduk dan telah memburukkan imej kerajaan tempatan.

Tangkak ingin menyeru pihak berkuasa tempatan supaya memantau keadaan kemudahan-kemudahan awam dalam kawasan mereka dengan lebih kerap supaya dapat mengambil tindakan yang lebih laju sekiranya mendapati berlaku kerosakkan.

Juga berharap pihak berkuasa tempatan boleh memaklum balas aduan yang diterima dengan lebih cekap dan profesional.

Tangkak juga ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak berkuasa tempatan yang telah menyediakan saluran aduan seperti Whatsapp, Twitter dan Facebook, ia telah memudahkan penduduk untuk membuat aduan.

KEBAJIKAN

Kepada mereka yang kurang bernasib, seperti golongan OKU, keluarga miskin tegar, mereka terpaksa untuk bergantung kepada bantuan kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat setiap bulan.

Tangkak telah banyak menerima aduan daripada penerima bantuan JKM bahawa wang tersebut diagih secara tidak tentu masa setiap bulan.

Contohnya, pada bulan Januari, beliau terima bantuan kewangan pada 7hb, bulan Februari terima pada 15hb, bulan Mac dimasukkan pada hujung bulan, bulan April gantung kuali sebab bantuan kewangan diterima pada bulan Mei.

Keadaan ini telah menyusahkan penerima JKM, Jabatan Kebajikan Masyarakat diminta memberi penjelasan atas masalah ini dan apakah sebabnya berlaku kelewatan agihan kewangan dan permohonan bantuan diproses dengan perlahan.

Pejabat JKM daerah Ledang telah dipindah ke premis baru sebelum ini, malangnya, 3 bulan sudah berlalu, kerja pengubahsuaian ruang pejabat masih belum selesai, perkhidmatan telefon pejabat juga belum dipasang oleh Telekom, pekerja-pekerja JKM Ledang menghadapi kesukaran semasa menjalankan tugas.

Kepada Jabatan Kesihatan pula, Tangkak juga menerima pemberitahuan bahawa kemudahan ultrabunyi di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Grisek Ledang telah rosak dan tidak dibaiki sehingga sekarang.

 Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

ISU KAWASAN

Pembinaan Pusat Pentadbiran Daerah Ledang yang baharu di kawasan Tangkak telah diumumkan sejak tahun 2012, dalam ucapan bajet 2016 YAB Menteri Besar minggu lalu, sekali lagi disentuh, Tangkak ingin tahu bilakah kerja-kerja pembinaan akan dijalankan dan berapa jangka masa diperlukan untuk kerja-kerja pembinaan.

Tangkak juga ingin mengambil kesempatan ini untuk meminta kerajaan supaya melengkapkan pejabat-pejabat dan agensi-agensi kerajaan di daerah Ledang seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengakutan Jalanraya, Jabatan Immigresen, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan sebagainya.

Sejak Ledang diangkat sebagai sebuah daerah pada 8 Jun 2008, kerajaan gagal untuk menyediakan pejabat dan agensi kerajaan yang lengkap kepada penduduk disitu. Penduduk terpaksa membuat urusan di Daerah Muar dan Daerah Jasin Melaka.

Pusat Pameran Antarabangsa yang akan dibina di Ledang juga telah lama dinanti-nantikan oleh penduduk dan usahawan di Daerah Muar dan Ledang.

Apakah pendekatan yang akan diambil oleh Kerajaan untuk menghadapi masalah jarak antara kawasan perindustrian pembuatan perabot di Muar dan Pusat Pameran ini?

Memandangkan kerajaan berhasrat untuk membangunkan Segamat sebagai Daerah Industri Asas Tani, daerah Ledang juga sebuah daerah yang banyak mengeluarkan hasil tanaman sayur dan buah-buahan, adakah kerajaan sedia memperuntukkan sebahagian pusat pameran ini untuk mempamerkan produk-produk pertanian dari kedua-dua daerah ini.

Tangkak mencadang kerajaan membangunkan industri pengolahan buah-buahan, industri-industri pengolahan boleh ditempatkan di kawasan perindustrian Tangkak yang sedia ada dan Tangkak percayai kalau cadangan ini dirancang dengan baik, harga hasil tanaman pekebun akan lebih stabil dan bukan saja mereka akan mendapat keuntungan, kerajaan juga boleh memperolehi manfaat.

Dengan lokasi Tangkak yang strategik, bandar yang terletak di utara Johor ini adalah pintu masuk pertama bagi pelancong-pelancong yang memasuki negeri Johor melalui lebuhraya utara-selatan. Oleh itu, Tangkak ingin mencadang kepada Kerajaan supaya menyediakan sebuah ruang memperkenalkan negeri Johor di Bandar Tangkak.

Selepas itu, pelancong-pelancong yang melancong ke negeri Johor boleh singgah di bandar Tangkak untuk lebih kenal negeri Johor. Bagi pelancong-pelancong yang meninggalkan Johor, mereka boleh juga berhenti di pusat pameran produk-produk pertanian yang Tangkak cadang tadi untuk membeli buah tangan.

Cadangan ini juga selaras dengan pelan pertumbuhan strategik ekonomi Johor yang telah diumumkan oleh YAB MB minggu lalu supaya daerah Ledang dibangunkan dengan industri pelancongan.

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

Tidak kira Dewan Negera, Dewan Rakyat, Dewan Undangan Negeri, Dewan-dewan Bandaraya sampai ke Majlis-majlis Daerah, persidangan atau mesyuarat yang di jalankan dalam dewan tersebut adalah untuk membincang dan menentukan isu-isu yang berkaitan dengan rakyat.

Jadi, sebagai satu pentadbir yang telus dan integriti, kerajaan sepatutnya perlu menyediakan segala kemudahan untuk rakyat mengikuti persidangan dan mesyuarat yang sedang dijalankan.

Tangkak juga ingin memuji kerajaan negeri Johor kerana telah berjaya membuat siaran langsung melalui stesen radio dan laman web buat kali pertama pada hari pembentangan bajet tahun 2016 pada minggu lalu.

Tangkak harap siaran langsung ini bukan saja dijalankan pada hari pembentangan bajet, tetapi harus disiarkan  sepanjang tempoh persidangan kerana anak bangsa Johor berhak untuk mengetahui segala keadaan dalam dewan dengan segera semasa persidangan dijalankan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah membuat pengumuman pada awal bulan November bahawa majlis mesyuarat PBT di seluruh Malaysia akan disiarkan melalui laman web mulai hujung tahun ini.

Majlis Bandaraya Johor Bahru adalah salah satu PBT yang akan membuat siaran langsung pada tahap pertama. Tangkak dengan ini menyeru kerajaan membuat siaran langsung persidangan dewan ini dengan segera, jangan nanti kalah pada PBT pula.

Selain daripada kemudahan siaran langsung persidangan, Tangkak juga sekali lagi meminta dewan yang mulia ini untuk menyediakan kesemua dokumen-dokumen urusan dewan berdigital, tujuannya bukan saja dapat memudahkan kerja-kerja ahli-ahli YB, tetapi juga boleh mempamerkan dokumen-dokumen seperti verbatim dalam laman web yang boleh lebih senang dirujuk oleh rakyat jelata.

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment